Thursday, 28 August 2014

nota sejarah sabah

1.0          PENGENALAN
Sinonim dengan gelaran nama “Negeri Bawah Bayu” iaitu Sabah dan Sarawak, Bumi Kenyalang merupakan sebuah negeri yang kaya dengan hasil buminya yang tersendiri. Ekoran keunikan kedua-dua negeri tersebut, kuasa asing khasnya Jepun dan British berlumba-lumba untuk menjajah dan mentadbir Sabah dan Sarawak. Jepun telah mentadbir Sarawak dan Sabah bermula pada tahun 1941 manakala telah diserahkan kepada pihak British pada tahun 1946.

            Menurut Sheela (1994), sebelum Sabah dan Sarawak diserahkan di bawah pentadbiran British pada tahun 1946, kedua-dua negeri ini terlebih dahulu dijajah oleh Jepun pada tahun 1941. Ketika itu, Sarawak telah diperintah oleh Charles Vyner Brooke. Kemudian, Jepun telah memerintah Sarawak dari tahun 1941 hingga 1945. Sebagaimana yang berlaku terhadap negeri Sarawak, Sabah juga berada dalam keadaan tenang dan aman di bawah pemerintahan Syarikat Berpiagam Sabah. Pada bulan Mei 1942, seluruh Sabah telah ditawan dan berada di bawah pemerintahan Jepun sehingga tahun 1945. Pemerintahan Jepun di Sabah dan Sarawak telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat terutama dari aspek sosial, politik dan ekonomi .

1.1          Sejarah Sarawak
Menurut Ruslan (2000), sebelum ditadbir oleh keluarga Brooke, Sarawak pernah berada di bawah penguasaan Sultan Brunei. Disebabkan kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh wakil Sultan Brunei, Pangeran Mahkota ke atas masyarakat Sarawak, pemberontakan telah meletus. Penentangan tersebut mengambil masa yang lama untuk dipatahkan dan dengan bantuan James Brooke, ia dapat ditamatkan. Sebagai imbalannya, Sarawak telah diserahkan kepada James Brooke. Dengan ini, wujud satu entiti politik Sarawak di bawah pemerintahan keluarga Brooke.

            Mazlan (2012) menyatakan James Brooke telah dilantik dengan rasminya sebagai Gabenor Sarawak pada 24 September 1841. Kemudiannya, pada 1 Ogos 1842, James Brooke menjadi Rajah Sarawak yang pertama setelah Sarawak diserahkan dengan rasminya oleh Sultan Brunei kepadanya. Menurutnya lagi,  Sarawak menjadi hak milik perseorangan James Brooke dan waris-warisnya. James Brooke merupakan seorang “ Rajah Putih” yang pertama di Sarawak. Pada 11 Jun 1868, James Brooke telah meninggal dunia dan anak saudaranya iaitu Charles Johnston Brooke telah menggantikan beliau,

            Menurut Abdul Rahman (2005), Charles Johnston Brooke ialah anak kepada adik perempuan James Brooke. Beliau menjadi Rajah Putih II di Sarawak pada 3 Ogos 1868. Apabila beliau meninggal dunia pada tahun 1917, anaknya yang bernama Charles Vyner Brooke dilantik sebagai Rajah Sarawak yang ketiga. Asnarulkhadi dan Jayum (1997) menyatakan setelah tamatnya Perang Dunia ke II, Sarawak diserahkan kepada British pada 1 Julai 1946 oleh Charles Vyner Brooke. Amnya, pemerintahan keluarga Brooke selama 100 tahun iaitu bermula dari tahun 1841 hingga tahun 1941 telah membawa banyak kemajuan dan perubahan kepada masyarakat Sarawak.


1.2          Sejarah Sabah
Andaya dan Andaya. (1983) menyatakan nama 'Sabah' pertama kali digunakan pada abad ke-15 oleh para pedagang yang mengembara di antara Kepulauan Borneo Utara hingga ke kepulauan Sulu di Selatan Filipina. Kesimpulannya nama 'Sabah' telah pun digunakan sejak sebelum kedatangan Syarikat Berpiagam Borneo Utara dan British lagi.  Menurut Ramlan dan Muhd. Aslar (1987) setelah negeri Sabah diambil alih oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara, nama 'Sabah' telah ditukar kepada 'Borneo Utara’ secara rasmi pada tahun 1881. Walau bagaimanapun, nama 'Sabah' kembali digunakan pada tahun 1963 selepas negeri tersebut menyertai Malaysia.

            Ruslan, Mohd. Mahadee dan Zaini (2005) menyatakan sebelum ditadbir oleh British pada tahun 1946, Sabah pernah berada di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Syarikat Berpiagam Borneo Utara mula mentadbir Sabah pada tahun 1881 dan pemerintahan tersebut berterusan sehingga tahun 1946. Syarikat itu merupakan sebuah syarikat perdagangan dan juga badan pentadbir di Sabah.  Sepanjang pemerintahan Syarikat Berpiagam Borneo Utara selama kira-kira 60 tahun di Sabah, syarikat ini mewujudkan sistem pemerintahan sendiri yang tidak jauh bezanya dengan sistem pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak. Gangguan syarikat terhadap sistem kehidupan dan adat resam masyarakat tempatan telah menyebabkan penentanga berlaku sehingga Sabah diserahkan kepada kerajaan British pada 15 Julai 1946.


2.0          SEBAB-SEBAB PENYERAHAN SARAWAK DAN SABAH KEPADA BRITISH

2.1          Faktor Penyerahan Sarawak kepada British pada 1 Julai 1946
Pada bulan November 1945, Sarawak pernah diperintah oleh Pemerintahan Tentera British dan tamat pada bulan April 1946 setelah Raja Charles Vyner Brooke kembali semula ke Sarawak. Hasil rundingan dengan kerajaan British, Charles Vyner Brooke kemudiannya mengambil keputusan untuk menyerahkan Sarawak kepada British pada 1 Julai 1946. Keputusan untuk menyerahkan Sarawak kepada British oleh Charles Vyner Brooke telah didorong oleh tiga faktor penting:

2.1.1      Masalah Dalaman Keluarga Brooke
Menurut Masariah dan Johara (2003) salah satu sebab Sarawak diserahkan kepada British ialah berpunca daripada masalah dalaman keluarga Brooke sendiri. Semasa pemerintahnnya, Charles Vyner Brooke tidak mempunyai anak lelaki untuk menggantikan pemerintahan beliau. Buktinya, beliau cuma mempunyai tiga orang anak perempuannya sahaja. Oleh itu, takhta Sarawak tidak mungkin diwariskan kepada salah seorang anak perempuannya. Masalah dalaman keluarga bermula apabila beliau enggan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada anak saudaranya iaitu Antohny Brooke kerana beliau bersifat kasar dan curang. Mana mungkin seorang pemimpin dapat memimpin dengan baik apabila mempunyai sifat yang sedemikian, Tambahan pula, usia Charles Vyner Brooke yang semakin tua iaitu 70-an telah menyebabkan kesihatannya sering terganggu. Akhirnya, beliau telah mengambil keputusan untuk menyerahkan Sarawak ke dalam pentadbiran Brirish.

2.1.2      Sejarah Hubungan Diplomatik Sarawak – Britain
Selain itu, Mazlan (2012) menyatakan sejarah hubungan diplomatik antara Sarawak dengan Britain telah mengundang Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada  British.  Amnya, Sarawak sudah pun mempunyai perhubungan dengan Britain sejak tahun 1888 lagi. Buktinya, pada tahun itu, Britain telah melaksanakan dasar perlindungan ke atas Sarawak. Menurut beliau lagi, apabila Charles Vyner Brooke melihat pemerintahan keluarga Brooke sudah lapuk dan tidak sesuai diteruskan lagi di Sarawak, Britain telah mendesak beliau untuk menyerahkan Sarawak supaya pelaburan mereka terjamin. Akan tetapi, rancangan tersebut mendapat tentangan daripada rakyat dan pelbagai pihak di Sarawak. Akhirnya, keputusan undian yang diperoleh dalam Dewan Rakyat dimana 19 ahli bersetuju Sarawak diserahkan kepada British berbanding 16 ahli yang lainnya telah menyebabkan cadangan penyerahan telah diluluskan. Kesannya, Charles Vyner Brooke telah menandatangani dokumen penyerahan pada 20 Mei 1946 dan pada 1 Julai 196, Sarawak diambil dengan rasminya oleh kerajaan British. Wang simpanan negeri Sarawak telah dibayarkan faedahnya kepada keluarga Brooke.

2.1.3      Masalah Kewangan
Faktor terakhir yang menyebabkan Sarawak diserahkan kepada British ialah berpunca daripada masalah kewangan. Mohd. Isa Othman (2002) menyatakan selepas peperangan, Sarawak berada dalam keadaan yang teruk dan tidak stabil. Bagi membangunkan semula Sarawak, kos yang besar diperlukan. Kerja-kerja pemulihan pula terpaksa dijalankan dengan segera dan ini memerlukan perbelanjaan yang besar. Masalah kewangan timbul di sini apabila keluarga Brooke tidak mempunyai sumber kewangan untuk membiayai kerja-kerja pemulihan tersebut dalam membangunkan semula Sarawak. Oleh itu, Charles Vyner Brooke berpendapat bahawa kerajaan British mampu membangunkan semula Sarawak. Justeru, Sarawak telah diserahkan kepada British secara rasminya pada 1 Julai 1946.




2.2          Faktor Penyerahan Sabah kepada British pada 15 Julai 1946
Pada 15 Julai 1946, Sabah menjadi Tanah Jajahan British. Dengan itu, berakhirlah pemerintahan Syarikat Berpiagam di Sabah selama 63 tahun. Penyerahan Sabah kepada kerajaan British didorong oleh empat sebab yang penting seperti yang dinyatakan dibawah:

2.2.1      Masalah Kewangan
Sebagaimana yang berlaku terhadap Sarawak, Sabah juga turut mengalami keadaan yang teruk selepas peperangan. Kerosakan-kerosakan tersebut terlalu besar dan sukar untuk diperbaiki tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.  Seorang ahli sejarah Barat, K.G Tregonning dalam bukunya, “ A History of Modern Sabah : 1881-1963” dalam Sheela Abraham (1994) menyatakan Sabah ialah negeri yang terbinasa sekali akibat Perang Dunia ke-2. Disebabkan itu, usaha-usaha pemulihan tidak dapat dijalankan oleh Syarikat Berpiagam Sabah kerana mengalami masalah kewangan. Usaha-usaha ini memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar dan tidak mungkin dipikul oleh pemegang saham syarikat di Britain. Oleh itu, Sabah telah diserahkan kepada British kerana kerajaan British mempunyai modal dan kewangan yang mencukupi untuk menjalankan usaha-usaha pemulihan terhadap negeri Sabah dengan lebih berkesan.

2.2.2      Mengeksploitasi Sumber Bahan Mentah
Ruslan (2000) menyatakan dari aspek ekonomi, mengeksploitasi sumber bahan mentah juga merupakan salah satu sebab Sabah diserahkan kepada pihak Brtitish. Kita sedia maklum bahawa negeri Sabah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber hasil buminya. Contohnya, salah satu daripada sumber kekayaan bahan mentah negeri Sabah ialah kayu balak. Sabah pula membekalkan sumber hasil yang terkenal iaitu kayu balak. Manakala, kayu balak pula penting sebagai sumber pendapatan British dalam pasaran barangan keluaran negara Britain. Dengan kesempatan itu, pihak British menggesa Syarikat Berpiagam Sabah untuk menyerahkan Sabah kepada mereka disamping untuk menjaga kepentingan warganegara British dan melindungi pelaburan mereka.

2.2.3      Kerjasama Erat di Antara Sabah Dengan Kerajaan British
Jika dinilai dari aspek politik pula, Ramlan dan Muhd. Aslar (1987) menyatakan wujudnya kerjasama yang erat di antara Sabah dengan kerajaan British juga merupakan faktor yang mendorong Syarikat Berpiagam Sabah menyerahkan negeri Sabah kepada British. Buktinya, dengan pengurniaan sebuah Piagam kepada Syarikat Berpiagam Sabah oleh pihak British pada tahun 1881, ini telah menunjukkan bahawa British sebenarnya sudah menguasai pentadbiran Syarikat itu. Selain itu, Piagam itu juga telah mengikat Syarikat Berpiagam Sabah supaya memberikan hak-hak istimewa kepada warganegara British dan tidak dibenarkan menyerahkan atau memajak sebarang tanah di Sabah kepada mana-mana kuasa asing. Justeru itu, selepas tamatnya Perang Dunia kedua, Syarikat Berpiagam Sabah menyerahkan Sabah kepada pihak British dan tindakan tersebut menunjukkan perluasan dasar imperialisme British.

2.2.4      Pembayaran wang sagu hati
Di samping itu, Abdul Rahman (2005) menyatakan faktor terakhir yang mendorong penyerahan Sabah kepada British pada 15 Julai 1946 ialah pembayaran wang sagu hati. Penyerahan Sabah oleh Syarikat Berpiagam Sabah kepada pihak British tidak dilakukan secara percuma. Buktinya, pihak British telah membayar sebanyak £2, 260,000 kepada Syarikat Berpiagam Sabah. Oleh hal yang demikian, ini telah menunjukkan bahawa Syarikat Berpiagam Sabah telah menerima wang sagu hati daripada kerajaan British.


3.0          REAKSI RAKYAT TEMPATAN TERHADAP PENYERAHAN TERSEBUT

3.1          REAKSI RAKYAT TEMPATAN SARAWAK TERHADAP PENYERAHAN SARAWAK KEPADA PIHAK BRITISH PADA 1 JULAI 1946.
Penyerahan Sarawak kepada pihak British pada 1 Julai 1946 telah menamatkan pemerintahan Raja-Raja Brooke selama kira-kira 100 tahun di Sarawak. Daripada dikuasai oleh orang perseorangan, pemerintahan di Sarawak ditukarkan kepada pemerintahan kerajaan British. Ekoran daripada penyerahan Sarawak kepada pihak British, timbulnya penentangan yang hebat daripada masyarakat tempatan terutamanya daripada masyarakat Iban dan Melayu. Dengan itu, beberapa kumpulan gerakan anti penyerahan telah muncul yang terdiri daripada beberapa buah persatuan Melayu.

            Antara gerakan antipenyerahan Sarawak kepada British yang ketara pada peringkat awal ialah dapat dilihat dibawah pimpinan Datu Patinggi Abang Haji Abdillah. Menurut Mazlan (2012) gerakan bantahan tersebut mendapat bantuan daripada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dan Pergerakan Pemuda Melayu Sibu (PPM). Buktinya, Datu Patinggi Abang Haji Abdillah yang mengetuai wakil-wakil Melayu dan Dayak telah membuat bantahan dalam Maljis Negeri semasa Rang Undang-Undang Penyerahan dibahaskan. Sepanjang tempoh tahun 1945 hingga 1951, kegiatan-kegiatan penentangan yang dijalankan oleh gerakan ini mendapat sambutan yang hebat dari seluruh negeri.

            Selain itu, gerakan penentangan masyarakat Sarawak juga dapat dilihat melalui Pergerakan Pemuda Melayu (PPM). Menurut Mohd. Isa Othman (2002), Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) di Sibu telah muncul sebagai persatuan gerakan antipenyerahan yang kuat dengan keanggotaannya berjumlah 30, 000 orang. PPM mempunyai cawangan di beberapa tempat seperti Kanowit, Song, Kapit, Belaga, Binatang, Sarikei, Matu, Daro, Igan, Dalat, Oya dan Mukah. PPM juga berjaya menarik sokongan kaum Iban dan telah membimbangkan British. Antara kegiatan penentangan yang dijalankan oleh PPM ialah menghantar surat dan kawat bantahan kepada Kerjaan British, menganjurkan tunjuk perasaan dan memulaukan acara perlantikan Gabenor Sarawak. Walau bagaimanapun, kurangnya sambutan dari semua pihak telah menyebabkan tindakan protes dan tunjuk perasaan telah gagal.

            Asnarulkhadi dan Jayum (1997) menyatakan gerakan penentangan di Sarawak juga dapat dilihat melalui aktiviti penentangan yang dijalankan oleh Rukun Tiga Belas. Apabila kegiatan antipenyerahan semakin lemah ekoran daripada ugutan yang dilakukan oleh kerajaan British, golongan muda PPM Sibu telah berkumpul secara sulit pada 20 Ogos 1948 dan membentuk Rukun Tiga Belas. Kumpulan Rukun Tiga Belas ini diketuai oleh Awang Rambli Mohd Deli. Mereka telah bersumpah untuk menghapuskan semua orang Eropah dan ketua-ketua Melayu yang bersubahat dengan British. Buktinya, mereka telah merancang untuk membunuh Sir Charles Arden- Clarke iaitu Gabenor British yang pertama di Sarawak. Namun begitu, rancangan tersebut tidak dapat dijalankan kerana penukaran Gabenor Sarawak iaitu Sir Duncan Stewart. Berikutan daripada pembunuhan Sir Duncan Stewart pada 3 Disember 1949, Roslie Dhobie dan Morshidi Sidek yang merupakan ahli Rukun Tiga Belas telah dihukum gantung sampai mati oleh kerajaan British.

            Di samping itu, menurut Ruslan, Mohd. Mahadee dan Zaini Othman. (2005), kaum wanita juga turut melibatkan diri dalam gerakan antipenyerahan Sarawak kepada pihak British pada 1 Julai 1946. Misalnya, kaum ibu dari Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di bawah pimpinan Cikgu Lily Eberwein telah pergi ke kawasan pedalaman untuk mendapatkan sokongan kaum Iban. Sementara itu, Puan Syarifah Hajah Sipah Tuanku Othman, Dayang Fauziah dan Cikgu Abol  yang wakili kaum ibu dari Barisan Pemuda Melayu Sibu (BPM)  untuk menentang penyerahan Sarawak. Hasil daripada gerakan tersebut, pihak British memberikan amaran keras melalui “ Pekeliling No. 9” yang mengingatkan bahawa guru-guru sekolah supaya tidak terlibat dalam gerakan antipenyerahan tersebut.


3.2          REAKSI RAKYAT TEMPATAN SABAH TERHADAP PENYERAHAN SABAH  KEPADA PIHAK BRITISH PADA 15 JULAI 1946.
Penyerahan Sarawak kepada pihak British telah mendapat tentangan yang hebat dari rakyat Sarawak. Walau bagaimanapun, keadaan yang sebaliknya pula berlaku di Sabah. Hal ini demikian kerana, penyerahan Sabah kepada kerajaan British pada 15 Julai 1946 tidak mendapat tentangan yang hebat daripada masyarakat tempatan kecuali waris Sultan Sulu yang mendakwa Sabah milik mereka. Sheela Abraham (1994) menyatakan rata-rata penduduk Sabah pada ketika itu tidak memahami tujuan yang jelas tentang perubahan pemerintahan daripada Syarikat Berpiagam Sabah kepada penjajahan British. Tambahan pula, kebanyakan penduduk Sabah pada ketika itu mundur dari segi pendidikan.

            Selain itu, rakyat tempatan Sabah kurang menentang pada ketika itu kerana mereka berpuas hati terhadap pemerintahan British. Menurut Ramlan dan Muhd. Aslar (1987) hal ini disebabkan pihak British juga telah melakukan kemajuan dari segi sosial dan ekonomi yang membawa kesenangan kepada rakyat Sabah. Tambahan pula, golongan yang berada juga mempunyai kewangan yang stabil  dan menyebabkan mereka menyukai pentadbiran British di Sabah. Faktor-faktor inilah yang menyebabkan penyerahan Sabah tidak mendapat tentangan yang berkesan.

 Jika ditinjau dari segi kesedaran nasionalisme, masyarakat Sabah menunjukkan kelembapan dalam hal ini. Abdul Rahman (2005) menyatakan walaupun Persatuan Kebangsaan Melayu Sabah dan Barisan Pemuda Sabah lahir pada 1946, tetapi ia tidak menjadi satu pendorong kuat untuk membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan penduduk Sabah. Kedua-dua persatuan ini adalah pro-Indonesia dan diasaskan oleh tokoh-tokoh setempat yang terdiri daripada guru dan pegawai kerajaan. Menjelang 1951, kedua-dua persatuan ini tidak aktif lagi kerana British tidak menggalakkan kaum Bumiputera berkecimpung dalam kegiatan politik. Ini kerana British bimbang perkembangan pengaruh Indonesia akan menggugat kedudukan mereka di Sabah.










4.0          PENUTUP
Konkulusinya, kerajaan Brtish tidak berdiam diri melihat penentangan yang dilakukan oleh masyarakat terutamanya masyarakat Sarawak. Menurut Mazlan (2012) bagi menangani gerakan antipenyerahan Sarawak kepada British, pihak British telah mengambil beberapa tindakan keras seperti mengeluarkan Pekeliling No 9 yang dikeluarkan pada bulan Disember 1944. Pekeliling tersebut mengingatkan kakitangan awam termasuk guru-guru sekolah supaya tidak terlibat dalam gerakan antipenyerahan. Selain itu, pihak British turut melemahkan gerakan dengan memecahbelahkan perpaduan kaum. Buktinya, British melaga-lagakan orang Melayu dengan orang Dayak supaya bertelagah. Akhirnya, British telah berjaya mematahkan setiap gerakan yang dilakukan oleh masyarakat Sarawak.

Walaupun banyak penentangan di lakukan oleh masyarakat Sarawak, akan tetapi pelbagai perubahan telah diperkenalkan oleh kerajaan British dalam pemerintahannya selama 17 tahun di Sarawak. Perubahan tersebut merangkumi dalam bidang sosial dan kebajikan, politik dan ekonomi. Tetapi perubahan tersebut tidak memberi kesedaran politik yang meluas kepada rakyat Sarawak. Sarawak masih ketinggalan dari segi perjuangan politik dan hanya lebih aktif selepas penubuhan Malaysia.


Di Sabah pula, pihak British tidak terlibat dalam mematahkan gerakan penentangan rakyat sebagaimana yang berlaku di Sarawak. British hanya tidak menggalakkan kaum Bumiputera berkecimpung dalam kegiatan politik kerana bimbang perkembangan pengaruh Indonesia dalam  Persatuan Kebangsaan Melayu Sabah dan Barisan Pemuda dalam akan menggugat kedudukan mereka di Sabah. Sabah di bawah pemerintahan kerajaan kolonial Brtish telah mengalami perubahan yang ketara terutamanya dalam sistem pentadbiran. Penduduk pribumi mendapat banyak peluang mentadbir dan terlibat dalam hal ehwal pentadbiran peringkat kampung. Keseluruhannya, kemajuan sosial dan ekonomi yang diperkenalkan oleh British menyebabkan rakyat Sabah dapat hidup dengan selesa dan aman.

1 comment:

  1. cikgu,yang menurut nama orang tu,cikgu ambik sumber dari mana?

    ReplyDelete